“KALAU diikutkan, semua orang ada saja benda mahu dibeli, termasuk
saya yang sentiasa terfikir untuk membeli emas. Disebabkan mahal, saya
terpaksa bermain kutu dengan rakan untuk memiliki emas,” kata peniaga
ayam di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kamariah Md Hanafi, 50.
Kamariah menganggap membeli emas sebagai pelaburan menguntungkan
kerana ia boleh dijadikan aset berikutan harganya sentiasa meningkat.
Katanya, bermain kutu cara paling praktikal bagi mereka yang tidak mampu atau tidak memiliki banyak wang.
“Saya
menempah barang kemas sebulan sebelum menerima duit kutu. Sebaik
menerima wang, saya terus ke kedai emas dan mengambil tempahan.
“Sebagai contoh, setiap seorang daripada 25 pemain kutu membayar
RM50 sehari. Kami membuat cabutan 10 hari sekali dan setiap penerima
mendapat RM12,500.
“Kaedah ini dilakukan sejak bertahun-tahun lalu dan ia membantu kami mengumpul banyak wang pada satu-satu masa,” katanya.
Dia
yang berniaga ayam segar sejak 24 tahun lalu mengakui perniagaannya
banyak membantunya memberi pendapatan tetap, sekali gus membolehkannya
menyertai rakan lain bermain kutu.
Katanya, permainan kutu tidak
tamat selepas masing-masing mendapat habuan, sebaliknya diteruskan
supaya setiap pemain mempunyai sumber kewangan sampingan.
“Jika mahu lebih banyak wang kutu, saya akan memasukkan tiga nama iaitu anak dan adik sebagai penama.
“Itupun
terpulang kepada sasaran yang hendak dibeli dan memang satu kepuasan
apabila mendapat duit kutu kerana ia juga boleh digunakan untuk
melangsaikan hutang lama dan menanggung anak yang masih belajar,”
katanya.
Wanita gigih itu menegaskan, hasil duit kutu bukan saja
membolehkannya membeli barang kemas, malah digunakan untuk membeli
sebuah rumah berharga hampir RM200,000.
Kamariah berkata,
minatnya terhadap barangan kemas sebenarnya diwarisi daripada arwah
bapanya, Hanafi Ibrahim yang menjadi tukang emas.
Katanya,
kehebatan ukiran arwah bapanya yang terkenal dengan panggilan ‘Napi
tukang emas’ memberi laluan mudah kepadanya untuk membeli barang kemas
di kebanyakan kedai di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
“Arwah
bapa bersahabat baik dengan seorang perintis emas tersohor di negeri
ini. Namun, disebabkan ayah hanya pandai bertukang tapi kekurangan modal
untuk membuka kedai emas, saya memanfaatkan kepakarannya dan kini saya
pula menjadi ‘ketua kutu’ kepada rakan peniaga lain,” katanya.
Sambil
menunjukkan sebahagian barangan kemas miliknya, Kamariah yang lebih
mesra dengan panggilan Kak Yah mendakwa dengan hasil pelaburan itu, dia
mampu membesar dan menanggung pelajaran anak hingga ke universiti.
Bagaimanapun,
katanya, membentuk pasukan kutu tidak semudah disangka kerana bakal
berdepan risiko seperti ahli yang tidak jujur.
“Bermain kutu
memerlukan ahli yang boleh dipercayai. Saya sebagai ketua akan memilih
ahli daripada rakan peniaga di sekeliling kami.
“Lagipun, kami
sudah lama saling mengenali dan kebanyakan mereka ialah peniaga keropok,
barangan runcit, buah-buahan dan peniaga kain.
“Kami kenal lebih
20 tahun kerana sama-sama berniaga di pasar sama. Ia juga memudahkan
‘urusan’ mengutip duit kutu setiap hari,” katanya yang berasal dari
Tumpat, 10 kilometer dari Kota Bharu.
Hias diri, pelaburan paling utama
SEPASANG
suami isteri berpakat membuka kedai emas di Kota Bharu, Kelantan tiga
tahun lalu berikutan minat mendalam terhadap perniagaan itu.
Kini
Tengku Nor Alani Tengku Alang, 37, dan suami, Muhamad Faris Abdul
Rashid, 37, boleh tersenyum puas apabila Putri Jewels semakin mendapat
tempat di hati penggemar emas dengan lima cawangan sendiri, selain dua
cawangan francais.
Menurut Tengku Nor Alani, kebanyakan
masyarakat tempatan gemar menjadikan barangan kemas bukan hanya sebagai
perhiasan tetapi turut menjual atau melabur saat harga melonjak di
pasaran.
“Boleh dikatakan dalam sehari, kita memperoleh 10 orang
atau lebih pembeli emas yang rata-rata menjadikan ia sebagai perhiasan
diri atau untuk pelaburan.
“Jangan terkejut jika ada lelaki
datang membeli jongkong emas melebihi dua kilogram. Bayangkan harga satu
kilogram jongkong emas kira-kira RM170,000 ke atas, jika jongkong yang
ada lakaran atau ‘paten’ harganya mencecah RM181,000 sekilogram.
“Kebanyakan
pembeli membuat belian bukan hanya untuk satu kilogram. Kalau dilihat
gaya pakaian yang sederhana, anda tidak akan percaya mereka mampu
membeli emas dalam jumlah sedemikian.
“Kebanyakan mereka adalah
golongan peniaga, pesara, guru atau yang tahu selok-belok emas dan
mereka akan menjualnya semula apabila harga mencapai sasaran keuntungan.
“Mungkin ketika menjualnya, harga melonjak dan mereka mendapat pulangan
maksimum. Itu tidak termasuk mereka yang gemar menjadikan syiling emas
(dinar) atau wang perak (dirham) atau pelbagai bentuk koleksi lain untuk
tujuan sama.
“Tepuk dada tanya selera dan terpulang kepada individu untuk menyimpan emas mengikut cara masing-masing,” katanya.
Jika
Putri Jewels milik pasangan suami isteri, Kedai Emas & Permata Mohd
Said, iaitu kedai emas paling lama di Kelantan, adalah legasi
perniagaan keluarga.
Seorang anak Allahyarham, Razali Mohd, 59, adalah generasi kedua mengusahakan perniagaan yang dirintis bapanya sejak 1960-an.
Menurut
menantunya, Rohani Mohamad, 53, kebanyakan orang di negeri Cik Siti Wan
Kembang gemar membeli barangan kemas untuk tujuan perhiasan dan
pelaburan.
“Tidak dinafikan, sambutan terhadap jualan emas setiap
hari sentiasa ada pembelinya antara 10 hingga 20 orang memandangkan
kebanyakan mereka berfikiran jauh.
“Rata-rata masyarakat di sini
gemar memiliki emas dan budaya itu tertanam dalam masyarakat sejak dulu
sebab ia sungguh berguna kepada pemiliknya.
“Yang menarik,
sepanjang berniaga sejak berpuluh tahun dulu, persaingan sesama peniaga
sangat positif. Lebih membanggakan, tahun lalu kedai kami mendapat
Anugerah Harga Patut disampaikan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob,” katanya.
Sambutan hangat masyarakat Kelantan terhadap emas juga mendorong
syarikat tersohor, Habib Jewels Sdn Bhd, membuka cawangan ke-22 di negeri itu.
Menurut
pengurus cawangannya, Rosmayati Harun, ketika pembukaan cawangan itu
pada 14 Oktober 2010, jualan melebihi RM200,000 dengan jumlah pelanggan
lebih 500 orang.
“Sebenarnya, dalam usia lebih 50 tahun syarikat ini, walaupun ia bermula di Pulau Pinang, kebanyakan ejennya dari Kelantan.
“Untuk
itu, inisiatif pembukaan cawangan ini adalah sebagai penghargaan kepada
mereka yang gemarkan koleksi Habib yang sentiasa mengikut aliran
terkini.
“Pemerhatian terhadap trend pasaran di sini mendapati,
mereka membeli emas kerana pelaburan yang dianggap berbaloi dan ramai
orang tempatan suka emas 916.
“Namun ada juga yang sukakan
permata dan untuk itu promosi terhadap emas mahupun permata sentiasa
dilakukan dari semasa ke semasa, terutama musim
cuti sekolah atau perayaan tertentu,” katanya.
Harga emas jarang menjunam
MEMBELI
emas sebagai pelaburan sudah lama menjadi amalan wanita di pantai
timur, terutama di Kelantan. Jika tidak memiliki walau seurat emas, dia
seolah-olah tidak sempurna pada pandangan masyarakat, budaya atau cara
hidup golongan Hawa di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Jika dulu
hanya wanita membeli barang kemas sebagai perhiasan, trend hari ini
makin berubah apabila lelaki turut membeli logam berharga itu sebagai
pelaburan atau mengekalkan reputasi.
Perkara itu diakui pemilik
Dyana Jewels, Datuk Suhaimi Hashim yang berpengalaman lebih 12 tahun di
bidang berkaitan dengan meneruskan legasi perniagaan ibunya di Kuala
Terengganu dan kini memiliki beberapa cawangan di Kuala Lumpur.
Menurutnya,
gagasan menguasai ekonomi baru dunia memperlihatkan China dan India
sebagai negara paling ramai rakyatnya memiliki emas, diikuti Vietnam.
“Kebanyakan
rakyat di negara berkenaan menjadikan emas sebagai aset untuk
dilaburkan di kala kehidupan susah. Ini kerana mereka percaya emas tidak
pernah susut nilai atau menurun.
“Hakikatnya, harga emas jarang
menjunam berbanding komoditi lain. Tidak hairan jongkong emas kini
menjadi pilihan ramai lelaki yang didorong sifat ingin mengekalkan
kekayaan kerana harganya sentiasa stabil di pasaran. Kalau jatuh pun, ia
hanya sementara.
“Disebabkan ia pelaburan menguntungkan, emas kini bukan sekadar lambang status diri semata-mata,” katanya.
Suhaimi
turut membuat perbandingan antara kereta dengan emas. Sebagai contoh,
kebanyakan kereta yang dibeli dengan harga RM100,000 akan susut nilai
sehingga RM50,000 apabila digunakan selama lima tahun berbanding emas
yang dibeli dengan harga RM20,000 mungkin bernilai RM200,000 dalam
tempoh lima tahun lagi.
“Ini menyebabkan permintaan terhadap emas sentiasa tinggi berbanding barangan lain,” katanya.
Sebagai
perbandingannya, katanya, harga satu aun emas cuma RM30 ketika beliau
mula menceburi bidang itu 12 tahun lalu tetapi kini meningkat tujuh kali
ganda.
Mengenai jenis emas, Suhaimi berkata, ‘emas 10’ atau 999
iaitu bersamaan 24k (karat iaitu 99.9 peratus kandungan emasnya (tulen)
paling mahal di Malaysia.
Ini diikuti ‘emas 95’ (950) yang juga
dikenali sebagai emas pound (23k iaitu 95.4 peratus kandungan emas
tulen) dan ‘emas 916’ (22k iaitu 91.6 peratus kandungan emas tulen).
Bagaimanapun,
katanya, kebanyakan pembeli memilih emas 916 kerana ia dianggap
‘standard’ sama ada di segi harga atau piawaiannya.
Bagi mengelak
ditipu, Suhaimi menasihati bakal pembeli meneliti tanda ‘karat’ pada
perhiasan emas dijual, selain tanda atau cop dagangan untuk mengenal
pasti pembuatnya.
Menurutnya, di kebanyakan negara, setiap
pengeluar barang kemas diwajibkan mengecop simbol karat pada perhiasan
emas dan dikawal melalui sistem ‘hallmark’ (cap kempa) yang berasal
daripada Goldsmiths’ Hall, London sejak abad ke-14. Peraturan itu
diwajibkan di Belanda, Mesir, Britain, Perancis dan Bahrain.
“Di
Malaysia, kebiasaannya cop diletakkan di kancu emas sama ada jenis 999,
950, 916. Selain itu, ada juga dicop dengan karat seperti 22k, 18k, 14k.
Ada juga dicop bersama tempat pengeluaran barang kemas itu.
“Ia
penting kerana jika tiada undang-undang mengawalnya, pengilang akan
sewenang-wenangnya mengecop sendiri barang kemas mengikut cop perusahaan
mereka, termasuk karat dan ketulenan, tanpa pengawasan. Oleh itu,
pengguna mesti bijak dan perlu mengambil resit yang mencatatkan jenis
emas dibeli. Jika bercanggah dengan apa yang tercatat pada resit,
pembeli boleh membuat aduan,” katanya.
Bagaimanapun, bak kata
pepatah hanya jauhari yang mengenal manikam, Suhaimi mengakui hanya
segelintir orang dapat mengenal pasti sama ada emas dibelinya tulen atau
palsu.
“Macam saya yang sudah lama di bidang ini, melihat pada jarak tiga meter pun saya dapat agak ia palsu atau tulen.
“Kita
boleh lihat di segi warna dan beratnya serta pelbagai cara lain. Yang
penting, beli barang kemas di kedai emas, bukan daripada orang
sembarangan.
“Ada segelintir individu menawar untuk menjual
barang kemasnya kepada orang ramai dengan harga terlalu murah dengan
alasan terdesak dan perlukan duit segera. Perbuatan ini sungguh
mencurigakan kerana kalau benar-benar perlukan wang, dia boleh
menjualnya di kedai emas yang membeli dengan harga tinggi. Ia tentunya
menimbulkan syak kerana kemungkinan emas itu palsu,” katanya.
Suhaimi juga menjelaskan, emas perlu dicampur dengan logam lain kerana ia terlalu lembut hingga tidak sesuai dipakai seharian.
“Emas
perlu dicampur dengan logam lain supaya lebih keras dan tahan lasak.
Menambahkan logam lain sebagai campuran ‘metallurgists’ membolehkan anda
menukar warna emas. Paladium atau nikel boleh ditambah untuk mencipta
emas putih. Tembaga ditambah untuk menghasilkan warna mawar atau merah
muda.
“Saduran emas adalah proses yang menggunakan kaedah
elektrolisis. Lapisan emas pada barang kemas yang menggunakan kaedah
saduran biasanya lebih nipis berbanding dalam bentuk emas salutan.
“Istilah
mencuci emas atau mengilatkan barang kemas setahun sekali menggambarkan
lapisan emas yang disadur sangat tipis,” katanya.
-Sumber Harian Metro (Ahad,26 Februari 2012)
-------------------------------------------------------------------------------------------------------
Tengok..kalau warga wanita di Kelantan sanggup bermain kutu untuk membeli dan menyimpan emas atas kesedaran mereka mengenai "kenaikan" nilai emas ini..mengapa kita tidak??..Jangan tunggu lama2,lagi ditunggu lagi naik harga dia..
Untuk info,semasa aritikel ini ditulis,harga emas telah mencecah
1774 USD/OZ ,berbanding
1560 USD/OZ pada awal Januari 2012..
Dalam artikel akan datang kita akan tgk pula analisa harga emas bagi Februari 2012..InsyaAllah..
Berminat dengan pelaburan emas / perak?
Ingin membeli @ menjadi agent ?
Hubungi saya di 012-2040154
Email di asyudi.junoh@gmail.com
Dealer Public Gold (PG017578)